Rabu, 22 Julai 2009

Gerhana Matahari hari ini Rabu 22 Julai

KUALA LUMPUR 21 Julai – Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi esok (hari ini).

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

“Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan semasa gerhana separa itu berlaku,” kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd. Fairos Asillam, dalam satu kenyataan hari ini.

Kawasan utara semenanjung merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu, katanya.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

-BERNAMA-

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam) ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)


Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :


Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I’tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.


Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I’tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir

Kemudian diikuti dengan dua khutbah (seperti khutbah hari raya)

(rujukan: Kitab Feqh Manhaji)

Selain daripada menunaikan solat sunat umat Islam digalakkan juga memperbanyakkan doa,berzikir,membaca Al-Quran dan bersedekah.

Wallahu A'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan