Rabu, 25 November 2009

Selangor larang ikuti kursus Biro Tata Negara

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melarang semua pegawai, pekerja dan mahasiswa yang berkaitan dengan kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) berkuatkuasa, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata larangan itu membabitkan semua pegawai kerajaan negeri, pekerja di semua anak syarikat milik kerajaan negeri dan mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi milik kerajaan Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menjalankan beberapa kajian dan pengalaman daripada laporan yang dibuat oleh mereka yang pernah menyertai BTN bahawa kursus itu adalah satu proses doktrinisasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Rata-rata termasuk anak saya yang mengikuti kursus BTN dibekalkan dengan buku-buku dan risalah yang mengandungi pelbagai perkara menimbulkan kebencian kepada pembangkang," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Halimah menyifatkan kursus BTN hanya menghabiskan wang rakyat.

"Maka adalah lebih baik kerajaan Selangor memberikan kursus yang lebih membina dan memupuk perpaduan sejati di kalangan masyarakat majmuk," katanya.


-Bernama-


Komen: Ambo sokong 100%.Kursus BTN ialah kursus untuk mem'barisan nasional'kan orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan