Selasa, 24 November 2009

Isu Royalti: Ku Li setuju sertai kaukus khas parlimen

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk bersama pakatan Rakyat dalam Kaukus Khas Parlimen berkaitan royalti petroleum.

Ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu memaklumkan perkara itu mencadangkan agar Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus berkenaan.

"Saya dimaklumkan oleh Tengku Razaleigh, beliau setuju bersama dengan kaukus petroleum,"

"Kita (Pakatan Rakyat) cadangkan Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus ahli-ahli parlimen ini," katanya katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di parlimen petang tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yakin Tengku Razaleigh dapat membuktikan pentafsiran yang tepat berhubung perkara itu memandangkan beliau merupakan bekas Pengerusi Petronas.

"Saya percaya dengan latar belakang dan pengalaman Ku Li beliau akan dapat membantu," katanya lagi.

Menurut Anwar juga, kaukus berkenaan akan turut memanggil wakil dari parti komponen Barisan Nasional termasuk negeri-negeri pengeluar petroleum.

"Kita akan mencadangkan supaya kaukus ini mewakili semua parti dan kita akan menjemput wakil Umno, MCA dan lain-lain selain Pakatan terutamanya negeri-negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Anwar juga memberitahu, beliau akan memaklumkannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhammad Nazri Aziz yang menyelia hal parlimen.

"Sebagai prosedur, selepas Pakatan bersetuju, kita akan maklumkan kepada Datuk Nazri sebagai menteri yang bertanggungjaawab kemudian kepada wakil parti yang lain.Selama ini belum ada kesediaan parti-parti yang lain yang turut hadir beberapa perjumpaan," ujarnya.

Draf rang undang-undang mengenai petroleum juga ujarnya akan dibentangkan untuk dibahaskan pada sesi parlimen akan datang.

"Draf rang undang-undang mengenai petroleum yang akan jelaskan kedudukan dan bidang kuasa negeri kita siapkan dan cuba kita bentangkan untuk dibahaskan dalam sesi parlimen akan datang," katanya.

18 November lalu, Anwar, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi mencadangkan beliau mengetuai kaukus tersebut.

Penubuhan kaukus khas parlimen ini dilihat mempu mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu tersebut.

-harakahdaily-

Komen: Terima kasih Ku Li.

Mustafa Muhamad dan Awang Adek sepatutnya mencontohi Ku Li.Bukannya menjadi talibarut kerajaan pusat dengan bersekongkol mengkhianati hak rakyat Kelantan.Ingat kamu berdua bukannya peranakan Kuala Lumpur,tapi kamu berdua adalah peranakan jati Kelantan.Kamu pun spesis makan budu..hehe.

Tiada ulasan:

Catat Komen