Khamis, 22 Oktober 2009

Sekolah Agama Kelantan cadang perkenal bahasa mandarin

M Faqih

KOTA BHARU, 22 Okt: Sekolah agama di Kelantan dijangka menjadi perintis memperkenalkan pembelajaran bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajarnya.

Usaha ke arah itu sedang giat dilaksanakan sekarang dengan menubuh Kelab Bahasa Mandarin di tujuh sekolah di Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sekolah terbabit iaitu Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Maktab Pengajian Islam, Maahad Arabiah Pasir Mas, Maahad Tahfiz al Quran di Pulai Chondong, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah, Panchor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kelab tersebut dilancar di Maahad Muhammadi Perempuan pada Julai lalu.

"Sehingga sekarang seramai 250 pelajar di tujuh sekolah terbabit menyertai kelab berkenaan biar pun ia baru diperkenalkan.

"Pembelajarannya hanya diadakan pada hari cuti dan hujung minggu," katanya menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS Tanjung Mas) pada persindangan Dun hari ini.

Mohd Amar berkata, bilangan Kelab Bahasa Mandarin akan ditambah lagi pada tahun hadapan memandangkan sambutan pelajar begitu menggalakkan sekarang.

Menurutnya dengan ada kelab tersebut membolehkan pelajar menguasai bahasa Mandarin bagi menambahkan lagi pengetahuan mereka.

"Memandangkan sambutan menggalakkan, tidak dapat ditolak pada masa hadapan sekolah agama di Kelantan akan memperkenalkan subjek Bahasa Mandarin," ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Adhan Kechik (BN Bukit Bunga) katanya buat masa ini kerajaan belum lagi bercadang menghantar pelajar melanjut pengajian dalam bidang agama di China memandangkan belum ada institusi pengajian tinggi seumpama itu di negara berkenaan sekarang.

Bagaimanapun katanya kerajaan negeri telah menghantar empat pelajar lepasan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) melanjutkan pengajian dalam bahasa Cina di negara berkenaan.

Katanya, pelajar tersebut kini menjadi pengajar di Kias dalam subjek bahasa Cina.

Di Kelantan Maahad Darul Anwar di Pulau Melaka menjadi sekolah menengah agama pertama memperkenalkan subjek bahasa Cina sejak beberapa tahun lalu.

-harakahdaily-

Komen: Sejak dulu lagi saya berminat belajar bahasa Mandarin.Sewaktu di Urdun dulu ,selain bahasa Arab,saya turut belajar bahasa Mandarin dengan seorang sahabat berbangsa Cina Muslim.Beliau berasal dari Serawak.Beliau telah menghadiahkan kepada saya 3 buah buku teori-teori asas bahasa Cina.Saya sempat 'bertalaqqi' dengan beliau untuk beberapa ketika.Tetapi oleh kerana masing-masing sibuk dengan jadual kuliah,maka pengajian terhenti begitu sahaja.

Minat masih ada lagi.Semoga cadangan kerajaan negeri Kelantan menjadi kenyataan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan