Sabtu, 14 Februari 2009

UMNO JANGAN CEMARKAN SISTEM RAJA BERPERLEMBAGAAN!

Sekonyong-konyong saya dipersalahkan serta dituduh bertindak dengan tidak menurut lunas-lunas Perlembagaan oleh Pak Lah di atas apa yang berlaku di Perak. YAB Perdana Menteri sewajarnya mengetahui yang sengaja membelakangkan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ialah timbalan beliau Dato’ Seri Najib Razak. Namun ingatan Pak Lah yang pendek itu bolehlah difahami kerana kita mengetahui reputasi beliau sewaktu mengendalikan mesyuarat.
Sayugia diingatkan tindakan Dato Najib yang cuba menjatuhkan pentadbiran Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar dengan cara mengugut, merasuah serta bermain silap mata dengan menghilangkan individu tertentu, sebenarnya mengenepikan Perlembagaan, juga dengan sengaja mencemar kemulian, bukan sahaja Paduka Sri Sultan Perak, malah Institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri, kerna mereka adalah Penjaga kepada Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi di negara ini.
Makanya tindakan Pakatan Rakyat menyaman YB Zambry menunjukkan komitmen kami di dalam memulihkan kembali penjalanan proses demokrasi di Negeri Perak serta memastikan institusi Raja, tidak dicemar dengan tindakan segelintir yang berpolitik menurut mazhab Machiavelli.
ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan