Jumaat, 26 Februari 2010

Bekas Pembaca Berita Terkenal RTM, Datuk Chek Hashim Embi Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Bekas pembaca berita terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Chek Hashim Embi meninggal dunia pada pukul 10.57 pagi tadi akibat kanser prostat.

Anak perempuannya, Shuhada memaklumkan perkara tersebut kepada mStar Online sebentar tadi.

Shuhada berkata, sebelum ini ayahnya dirawat di Hospital Sri Manjung, Perak dan selepas itu ditempatkan di rumah kakaknya.

Katanya, ayahnya bergantung kepada sistem sokongan hidup dan alat bantuan pernafasan.

Hashim memulakan kerjayanya di RTM pada tahun 1965 sebagai Pembantu Siaran RTM Pulau Pinang.

Pada tahun 1982, beliau ditugaskan sebagai penyampai berita televisyen selama kira-kira 20 tahun sebelum dilantik Pengarah Penyiaran RTM Negeri Pahang pada 1999.

Beliau telah berkhidmat di RTM selama 35 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Che Mahani Haji Abdul Rahim, 64, dan empat anak iaitu Rizal, 39, Suhaila, 36, Razif, 32, dan Syuhada, 25.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Surau Madah, Manjung dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Teluk Pencalang, Pasir Panjang, Perak selepas solat Asar hari ini.

-Mstar-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan