Selasa, 13 Julai 2010

Bekas imam besar masjid negeri Sabah (Ust Nahar Matamin) meninggal dunia

(Almarhum Ust Nahar berkopiah,ketika menyambut kunjungan wakil Al-Quds Travel ke Sabah beberapa bulan yang lalu)

KOTA KINABALU, 12 Julai: Bekas Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Nahar Matamin telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10 pagi ini di Hospital Queen Elizabeth 2.

Almarhum yang baru pulang dari kursus kejurulatihan pilihan raya PAS di Kundasang mengadu sakit gastrk dan telah ditahan di Hospital Likas.

Almarhum keluar hospital kira-kira jam 9 pagi dan sempat berbual dan makan bersama ahli keluarga termasuklah ibu almarhum.

Kira-kira jam 9.45 almarhum rebah dan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 dan kemudian disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Pemergian almarhum amat terasa sekali kerana ketokohan dan keilmuan beliau di samping sangat dihormati oleh umat Islam di negeri ini.

Semasa menjadi Imam Masjid Negeri, beliau telah melakukan beberapa perubahan untuk menghidupkan lagi masjid negeri sebagai pusat kecemerlangan ummah.

Semasa hayat Ustaz Nahar sering diundang oleh Radio TV Malaysia (RTM) bagi mengisi slot agama.

Almarhum yang mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak pernah memikul amanah sebagai Pengerusi Gabungan Pelajar Islam Sabah (GAPIS), Penasihat Persatuan Anak Sabah Jordan, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah, Naib Pengerusi Yayasan Amal Cawangan Negeri Sabah, AJK Persatuan Ulama Urusetia Sabah dan yang terakhir sebagai Yang Dipertua Penaja PAS Kawasan Sepanggar.

Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Unit Pengurusan Masjid.

Di antara yang hadir menziarahi almarhum ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Ismail Awang Besar, bekas Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Matusin Awang Damit, bekas Imam Besar Masjid Negeri, Datuk Mokhtar Rapok, Adun Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, Pengerusi Persatuan Ulamak Sabah, Ustaz Muchklis Ali Kassim dan ratusan sahabat handai dan rakan taulan.

Jenazah Ustaz Nahar akan disembahyangkan pagi esok di Masjid Kampung Likas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kampung itu.

-harakahdaily-

Komen : Ta'ziah buat seluruh ahli keluarga Almarhum Ust Nahar.Moga bersabar atas ujian ini.Dari Allah kita datang,kepadaNYA jua kita kembali.

Antara kenangan yang tak dapat dilupakan bersama Almarhum ialah ketika sama -sama mengerjakan haji pada tahun 2000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan