Sabtu, 28 November 2009

Pengganti Tok Guru: Hentikan berbalas kenyataan dalam media


Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

-harakahdaily-

Komen: Sokong Dato Mahfuz.Usah lagi buka ruang untuk musuh membolos benteng kita.Moh kita tutup rapat-rapat.

Khamis, 26 November 2009

Muhyiddin bedil tok guru,Tok Guru bom muhyiddin..Umno hancur lebur

TPM,Muhyiddin Yasin ketika respon terhadap isu yang melanda PMBK telah menjadikan Tok Guru Nik Aziz sasaran bedilannya.Katanya Tok Guru tidak konsisten ketika buat keputusan dan pendirian yang berhubung kait kepentingan peribadi.

Saya tertanya-tanya,keputusan yang mana satu yang Tok Guru buat tidak menentu itu?

Umum mengetahui sikap pemimpin BN apabila membuat kentayaan tidak pernah disertakan dengan bukti dan dalil terhadap keyataan mereka.Kenyataan mereka seringkali terbit selepas atau hasil dari laporan berita yang telah dimanipulasi.

Amat malang sekali bagi mereka.Sebab itulah mereka ditertawakan rakyat.Sebab itulah tiap kali pilihanraya mereka ditolak rakyat Kelantan.

Hari ini giliran Tok Guru pula menyerang Muhyiddin.Serangan Tok Guru tepat mengena sasaran.

"Saya hairan tiba-tiba seorang pemimpin dari parti yang begitu tenat dengan masalah politik wang mampu menyelesaikan krisis MCA seperti yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri.

"Bagi saya politik orang Cina lebih ke hadapan dan lebih matang. Macam mana Umno hendak ajar orang Cina berpolitik.

"Apa perasaan orang Cina apabila Umno hendak ajar mereka berpolitik sedangkan rumah guru pun berselerakan," katanya di sini.(rujuk harakahdaily).

Leburlah Muhyiddin.Leburlah Umno.


P/s:
Esok kita beraya dulu.Hari ini kita sama-sama umum gencatan senjata.Selepas raya kita sambung perang lagi.Seronok berperang dengan Umno.

Ada orang galak perang sesama sendiri.Jangan berperang sesama sendiri.Kalu main bola jangan sumbat gol sendiri.


Isu hari raya jatuh serentak dengan hari Jumaat..adakah gugur solat jumaat?

Pada tahun ini umat Islam di Malaysia akan menyambut hari raya aidil adha pada 27 November 2009 iaitu jatuh kepada hari Jumaat. Lantas, persoalan yang seterusnya berlegar di sekitar kita ialah wajibkah solat jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari tersebut? Sekalipun jika dikira dari sudut rasional, mungkin tidak menjadi masalah kepada setiap muslim untuk menghadiri solat jumaat di negara ini berikutan kemudahan untuk menunaikan solat jumaat sangat terbuka, namun kerana persoalan ini dibincangkan oleh para fuqaha’, maka tidak salah untuk kita turut membuat perbincangan di samping membuka minda seluas-luasnya di dalam menerima pandangan yang berbeza.


Saya cuba untuk menghuraikan persoalan ini berdasarkan pandangan para fuqaha’ sebelum kita membuat sedikit perbandingan berkenaan hujah-hujah yang digunakan. Di dalam isu ini, beberapa pandangan telah dikemukakan para fuqaha :


TIDAK GUGUR KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT kepada sesiapa yang sudahpun solat hari raya. Ini merupakan pandangan pandangan Mazhab Hanafi. Menurut Imam Ahmad, solat jumaat merupakan fardhu ain manakala solat hari raya merupakan fardhu kifayah, maka sesuatu yang fardhu kifayah tidak akan menggugurkan kewajipan fardhu ain. Ini turut dinukilkan oleh Ibnu Hazm di dalam kitabnya al-Muhalla.(nombor masalah : 547)


GUGUR KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT KEPADA PENUDUDUK YANG JAUH DARIPADA MASJID (AHLIL QURA) DAN TETAP WAJIB KEPADA PENDUDUK YANG DEKAT (AHLIL BALAD). Ini merupakan pandangan mazhab Imam Syafie. Dalil yang dipegang di dalam masalah ini ialah kata-kata Saidina Uthman bin Affan RA :

إِنَّهُ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ أَحَبَّ مِنْ أَهْلِ الْعَالِيَةِ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ فَلْيَنْتَظِرْهَا وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Yang bermaksud : Sesungguhnya telah berkumpul kepada kamu pada hari ini dua hari raya, maka barangsiapa yang dari ahlil aliyah (penduduk kampung) yang ingin menunggu solat jumaat, maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin kembali (ke rumah) maka diizinkan baginya. (Muwatta’ Malik, jilid 1 / 116).


GUGUR SOLAT JUMAAT KEPADA MEREKA YANG MENGHADIRI SOLAT HARI RAYA DAN WAJIB KEPADANYA MENGERJAKAN SOLAT ZOHOR. Ini merupakan pandangan yang dipegang oleh Imam Ahmad. Mereka berpegang kepada hadith :

اِجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيْدَانِ ، فَمَنْ شَاءَ اَجْزَاَهُ مِنَ الْجُمَعَةِ وَانَّا مُجْمَعُوْنَ

Yang bermaksud : “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari Raya. Sesiapa telah (Bersolat Hari Raya), dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”. (H/R Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tamhid) 10/272. Al-Khatib (dalam Tarikh Bahgdad) 3/129. Ibnul Qaiyyim (dalam Zaadul Ma’ad 1/425 ). 1/473. Al-Faryabi (dalam Ahkamul Iedain) 150. Ibnul Jarud (dalam Al-Muntaqa) 302. Hadis sahih banyak syahidnya (lihat: Sawathi’ al-Qamarain fi Takhrij Ahadis Ahkamail Iedain), Musaid bin Sulaiman bin Rasyid. Hlm. 211)


Manakala kewajipan ke atas imam pula terdapat dua riwayat dari Imam Ahmad iaitu tidak wajib mendirikan solat jumaat dan pandangan kedua ialah wajib sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Taimiyyah : “Sesungguhnya ke atas imam wajib mendirikan solat jumaat untuk disertai oleh orang-orang yang ingin mendirikannya dan juga mereka yang tidak menghadiri solat hari raya”. (Majmu’ Fatawa, jilid 24/ms 211).


GUGUR KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT DAN JUGA SOLAT ZOHOR KEPADA MEREKA YANG MENGHADIRI SOLAT HARI RAYA. Ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali bin Abi Talib, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas, ‘Ato’ bin Abi Rabbah dan Al-Syaukani Rahimahumullah. (Majmu’ al-Nawawi, jilid 4/ms 492, Majmu’ Fatawa jilid 24/ms211, Nailul Autor jiilid 3/ms 283).

Manakala di kalangan ulama yang terkemudian yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah jilid 1/ms 316) dan juga Syeikh Nasiruddin al-Albani yang memberikan komentar terhadap hadis-hadis yang didatangkan Sayyid Sabiq di dalam Fiqh Sunnah tetapi tidak memberikan komentar terhadap pandangannya menunjukkan persetujuannya dengan pandangan Sayyid Sabiq (Tamam al-Minnah, ms 344, 345)

Jika dilihat kepada dalil-dalil yang didatangkan di atas, jelas bahawa hadith yang sahih menunjukkan kepada gugurnya solat jumaat dan juga zohor kepada mereka yang telah menghadiri solat hari raya. Zahirnya, inilah merupakan pandangan yang paling sahih daripada sunnah nabi Muhammad SAW.


Adapun untuk tujuan amalan di Malaysia, salah satu pandangan mazhab Ahmad kelihatan sesuai di mana diwajibkan kepada para imam untuk mendirikan solat jumaat sebagai memberikan peluang kepada mereka yang ingin mendirikannya dan juga kepada mereka yang tidak sempat hadir solat hari raya.

Wallahua’alam.


-http://ahmadfadhli.com.my-

Isu agih daging korban kepada bukan muslim

Prof Madya Alias Othman
Penasihat Syariah JIM

ISU yang sering ditimbulkan dalam ibadat korban ialah amalan korban dalam masyarakat berbilang atau silang agama. Dalam konteks masyarakat silang agama, yang penting ialah usaha meletakkan Islam di tempat dapat dilihat oleh semua pihak sebagai satu sistem yang mampu memesrakan hubungan dalam kehidupan seharian.

Melihat amalan ibadat korban di Malaysia, pendapat yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara ini ialah daging korban tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Pada peringkat sebelum berlaku interaksi sangat rapat antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia, pegangan seperti itu memang tidak menimbulkan apa-apa isu.

Namun, sejak akhir-akhir ini, selepas hubungan silang agama semakin rapat dan akrab, ziarah menziarahi kerap berlaku, saling menjemput ke majlis jamuan dan kenduri kendara sudah menjadi kebiasaan.

Malah, seorang Islam atau bukan Islam mungkin berasa janggal jika tidak menjemput rakan bukan Islam ke majlis yang diadakan, terutama jiran satu taman dan rakan setempat kerja. Budaya dan interaksi seperti ini mungkin menimbulkan isu.

Keadaan lebih ketara pada ibadat aqiqah yang pada kebiasaannya dilakukan di rumah. Majoriti orang Islam di Malaysia berpendapat daging aqiqah haram diberi makan kepada orang bukan Islam. Seorang Muslim akan berasa serba salah, jika tidak menjemput jiran bukn Islam sebelah rumah.

Dianggap kurang manis jika tidak memberikan daging korban kepada jiran. Sebaliknya, berasa bersalah kerana sudah melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah dan korban diberi makan kepada bukan Islam.

Jiran bukan Islam juga akan tidak selesa berada di rumah dalam keadaan dia tidak dijemput. Biasanya mereka akan sengaja membuat helah untuk tidak berada di rumah pada masa majlis diadakan.

Keadaan seperti ini sebenarnya menimbulkan satu tanggapan bahawa Islam tidak mesra jiran. Apakah tidak ada cara bagi umat Islam mengatasi masalah ini. Apakah tidak ada pendapat lain, selain pendapat yang mengatakan daging korban dan aqiqah haram diberi makan kepada bukan Islam?

Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, kita boleh merujuk kepada pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini. Kita dapat mengesan pelbagai pendapat dengan hujah masing-masing. Melalui pendapat itu umat Islam mungkin dapat menemui jalan keluar daripada isu ini.

Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.

Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.

Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.

Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir miskin Islam.

Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.

Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.

Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.

Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.

Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat:

l Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada bukan Islam.

l Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.

l Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.

l Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.

Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak harus jika korban wajib.

Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.

Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara perhubungan silang agama.

Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.

-http://jendelahikmah05.blogspot.com-

Rabu, 25 November 2009

Selangor larang ikuti kursus Biro Tata Negara

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melarang semua pegawai, pekerja dan mahasiswa yang berkaitan dengan kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) berkuatkuasa, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata larangan itu membabitkan semua pegawai kerajaan negeri, pekerja di semua anak syarikat milik kerajaan negeri dan mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi milik kerajaan Selangor.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menjalankan beberapa kajian dan pengalaman daripada laporan yang dibuat oleh mereka yang pernah menyertai BTN bahawa kursus itu adalah satu proses doktrinisasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Rata-rata termasuk anak saya yang mengikuti kursus BTN dibekalkan dengan buku-buku dan risalah yang mengandungi pelbagai perkara menimbulkan kebencian kepada pembangkang," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Halimah menyifatkan kursus BTN hanya menghabiskan wang rakyat.

"Maka adalah lebih baik kerajaan Selangor memberikan kursus yang lebih membina dan memupuk perpaduan sejati di kalangan masyarakat majmuk," katanya.


-Bernama-


Komen: Ambo sokong 100%.Kursus BTN ialah kursus untuk mem'barisan nasional'kan orang.

Pemuda Pas Kelantan seru rakyat boikut media fitnah pimpinan PAS

KOTA BHARU, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyeru rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya supaya bertindak proaktif secara besar-besaran memboikot media massa arus perdana termasuk Mingguan Malaysia kerana laporannya kian hebat menyerang kepimpinan PAS khususnya di negeri ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Baihaki Atiqullah dalam satu kenyataan medianya tengahari ini melahirkan kekesalan yang teramat sangat terhadap sikap media massa arus perdana yang melaporkan berita berunsur khabar angin dan spekulasi.

“Kejadian terbaru berita muka hadapan Mingguan Malaysia 22 November 2009 yang memuatkan berita “Husam Letak Jawatan?”. Memuatkan berita berunsur provokasi dan murahan dengan hanya memetik dari sumber yang didakwa sebagai (sumber) ‘dalaman’, sedangkan pada hakikatnya isu berkenaan tidak pernah timbul dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

“DPPNK merakamkan kekesalan yang teramat sangat terhadap akhbar tersebut, lantaran tindakan media massa berkenaan melanggar etika kewartawanan apabila tidak melaporkan berita yang benar dan mempunyai integriti, bahkan ‘melacurkan’ dunia kewartawanan serta memalukan pengamal kewartawanan umumnya,” katanya.

Ahmad Baihaki yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri menyifatkat akhbar berkenaan sebagai melampau dan keterlaluan di dalam mencari publisiti murahan serta bertujuan melariskan jualan akhbarnya.

“Ini bukan kali pertama kepimpinan negeri Kelantan khususnya diserang dengan laporan sedemikian, bahkan sebelum ini Menteri Besar Kelantan Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri difitnah dengan isu ‘Tidak Masuk Syurga’ dan ‘Islam Plastik’ di mana terbukti akhirnya (diakui mereka) sebagai salah lapor dari akhbar.

“Dengan ini DPPNK menyeru supaya boikot besar-besaran terhadap akhbar berkenaan dilakukan.

“Ini sebagai hukuman daripada rakyat dan pengajaran kepada mereka bahawa rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya adalah bangsa yang bertamadun dan cerdik dalam membezakan yang mana (story berdasarkan) fakta dan (yang mana pula berdasarkan) khabar angin,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit

Selain dari itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Demit menyatakan bahawa DPPNK menyambut baik keputusan Menteri Besar semalam berhubung dengan kontroversi yang melanda Kerajaan Negeri mutakhir ini.

“DPPNK berharap dengan keputusan itu, segala kontroversi dapat dipadamkan dan jentera Kerajaan Negeri dapat ditumpukan bagi menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

-harakahdaily-


Komen: Ambo sahut seruan.

Selasa, 24 November 2009

Isu Royalti: Ku Li setuju sertai kaukus khas parlimen

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk bersama pakatan Rakyat dalam Kaukus Khas Parlimen berkaitan royalti petroleum.

Ketua pembangkang di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu memaklumkan perkara itu mencadangkan agar Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus berkenaan.

"Saya dimaklumkan oleh Tengku Razaleigh, beliau setuju bersama dengan kaukus petroleum,"

"Kita (Pakatan Rakyat) cadangkan Tengku Razaleigh mempengerusikan kaukus ahli-ahli parlimen ini," katanya katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di parlimen petang tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yakin Tengku Razaleigh dapat membuktikan pentafsiran yang tepat berhubung perkara itu memandangkan beliau merupakan bekas Pengerusi Petronas.

"Saya percaya dengan latar belakang dan pengalaman Ku Li beliau akan dapat membantu," katanya lagi.

Menurut Anwar juga, kaukus berkenaan akan turut memanggil wakil dari parti komponen Barisan Nasional termasuk negeri-negeri pengeluar petroleum.

"Kita akan mencadangkan supaya kaukus ini mewakili semua parti dan kita akan menjemput wakil Umno, MCA dan lain-lain selain Pakatan terutamanya negeri-negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Anwar juga memberitahu, beliau akan memaklumkannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhammad Nazri Aziz yang menyelia hal parlimen.

"Sebagai prosedur, selepas Pakatan bersetuju, kita akan maklumkan kepada Datuk Nazri sebagai menteri yang bertanggungjaawab kemudian kepada wakil parti yang lain.Selama ini belum ada kesediaan parti-parti yang lain yang turut hadir beberapa perjumpaan," ujarnya.

Draf rang undang-undang mengenai petroleum juga ujarnya akan dibentangkan untuk dibahaskan pada sesi parlimen akan datang.

"Draf rang undang-undang mengenai petroleum yang akan jelaskan kedudukan dan bidang kuasa negeri kita siapkan dan cuba kita bentangkan untuk dibahaskan dalam sesi parlimen akan datang," katanya.

18 November lalu, Anwar, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi mencadangkan beliau mengetuai kaukus tersebut.

Penubuhan kaukus khas parlimen ini dilihat mempu mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu tersebut.

-harakahdaily-

Komen: Terima kasih Ku Li.

Mustafa Muhamad dan Awang Adek sepatutnya mencontohi Ku Li.Bukannya menjadi talibarut kerajaan pusat dengan bersekongkol mengkhianati hak rakyat Kelantan.Ingat kamu berdua bukannya peranakan Kuala Lumpur,tapi kamu berdua adalah peranakan jati Kelantan.Kamu pun spesis makan budu..hehe.

Khamis, 19 November 2009

Pemuda Pas Kelantan mahu anjur debat terbuka isu royalti antara Salahuddin dan Nazri

KOTA BHARU, 19 Ogos: Dewan pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) bersedia menjadi penganjur majlis debat mengenai pembayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan sekaligus memuji sikap berani Datuk Seri Nazri Aziz yang sanggup untuk menyertainya.

Naib Ketua DPPNK Hisham Fauzi dalam kenyataan medianya berkata sikap Nazri itu sewajarnya menjadi contoh kepada ahli Umno khususnya Pergerakan Pemuda Umno Kelantan.

“DPPNK akan menganjurkan satu Debat Terbuka Isu Royalti Minyak antara Dato’ Seri Nazri Aziz dengan YB Salahuddin Ayub dalam tempoh sebulan ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Tanah Merah.

Menurutnya, debat terbuka itu dicadang diadakan di Auditorium Pusat Dagangan Kelantan (Auditorium Kelantan Trade Centre), Kota Bharu.

“Surat jemputan kepada kedua-dua pihak akan dihantar dalam masa terdekat.

“Amatlah diharapkan agar kedua-dua pihak dapat mengotakan janji kesediaan mereka untuk berdebat sebagaimana yang diucapkan di Parlimen semalam dan seterusnya menjelaskan kepada rakyat Kelantan siapakah yang benar,” katanya sambil meluahkan kekesalan DPPNK di atas penafian yang berterusan oleh Kerajaan Pusat terhadap hak rakyat dan Kerajaan Kelantan terhadap pembayaran royalti minyak tersebut.

“Walau pun jelas tidak ada keperluan bahawa minyak itu dicarigali dalam tiga batu nautika dari pantai Kelantan untuk menjadikan Kelantan layak terhadap royalti di dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Petronas atau di dalam Akta Pembangunan Petroleum.

“Kerajaan Pusat terus cuba menafikan dan mengabaikan fakta sebenarnya. Sikap penafian dan pengabaian ini jelas ditunjukkan semasa sidang Parlimen semalam oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang secara berterusan menegaskan bahawa negeri Kelantan tidak berhak terhadap bayaran royalti dan hanya berhak terhadap wang ihsan saja.

“Datuk Nazri menyatakan kesediaan beliau untuk berdebat dengan YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang telah bertegas dengan Datuk Seri Nazri mengatakan Kelantan berhak terhadap bayaran tunai royalti minyak, sebagaimana termaktub dalam perjanjian dan akta berkaitan,” tegasnya.

-harakahdaily-


Komen: Jika jadilah debat ini saya akan pastikan saya salah seorang penontonnya.Cuma bagi saya,Salahuddin tidak sesuai berdebat dalam isu ini.Bukan saya merendah-rendahkan kemampuan Salahuddin berdebat.Salahuddin pernah berdebat dengan Dato Nazri dalam isu bantuan perkapita sekolah agama rakyat satu ketika dulu.

Bagi saya yang sepatutnya berdebat dengan Dato Nazri ialah Dato Husam.Baru kena buku dengan ruas..

Royalti minyak: Ku Li timbang pelawaan Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, akan menimbang pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantiknya sebagai pengerusi kaukus mengenai royalti minyak Kelantan.

Tengku Razaleigh yang terbabit sejak awal penubuhan Petronas itu berkata, buat masa ini beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai tawaran tersebut.

"Terlebih dulu saya akan mengikut perkembangan dan tengok sama ada saya boleh menyumbang kerana sebelum ini saya sudah terbabit dengan penubuhan Petronas, memahami kandungan perjanjian, merangka undang-undang berkaitan dengannya.
"Jadi mungkin saya boleh membantu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Anwar baru-baru ini untuk mempengerusikan kaukus mengenai royalti minyak di Kelantan.

Mengenai pertikaian wang ihsan hasil daripada pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu, Tengku Razaleigh berkata perkara itu tidak perlu timbul kerana ia adalah hak rakyat, iaitu tempat di mana minyak itu ditemui.

-Bernama-


Komen: Semua yang terlibat (kecuali Tun Razak) merangka draf perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri terbabit masih hidup.Mereka antaranya Tun Salleh Abas,Datuk Manan Osman,Datuk Nik Saghir dan Tengku Razaleigh sendiri selaku pengerusi Petronas pada waktu ini.(maklumat dari blog Dato Husam)

Tetapi Tun Razak ada meninggalkan catatan yang amat berharga,iaitu :

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.”

Tetapi anaknya Najib pada hari ini cuba menyanggahi apa yang dibuat bapanya lebih 30 tahun dahulu.Jika Tun Razak masih ada lagi Najib pasti kena lekuk kepala.

Selasa, 17 November 2009

Kota Seputeh..InsyaAllah kami datang

Dun Kota Seputeh (DKS) telah diisytihar kosong.Sebabnya wakil rakyatnya telah dengan sengaja tidak mahu menghadiri sidang Dun.Mahkamah dengan mudah sekali menolak hujah SPR yang sebelum ini nekad mengatakan kerusi DKS tidak kosong walau pun YBnya tidak hadir sidang Dun 2 kali berturut-turut.

Saya tertanya-tanya apakah ada tangan ghaib yang mencampuri urusan SPR dalam membuat atau memutuskan sesuatu perkara?Masakan hujah SPR ditolak dengan begitu mudah sekali.

Bagaimana SPR dengan begitu mudah sekali menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan bekas Adun berkenaan sedangkan bagi speaker Dun dari awal lagi meragui kesahihan sijil tersebut apatah lagi terbukti bahawa bekas Adun tersebut ada menghadiri satu program lain pada hari dia dikatakan sakit.Bagaimana SPR boleh menerima alasan yang dikemukakan bekas Adun terbabit bahawa beliau tidak memaklumkan ketidakhadirannya kepada speaker Dun tetapi hanya memaklumkan kepada ketua pembangkang Dun Kedah.Apakah memadai dengan hanya maklum kepada ketua pembangkang?Atau apakah ketua pembangkang lebih berkuasa dari speaker Dun?

Alahai SPR....Budak darjah 1 pun reti benda ini.

Bagi saya apabila wakil rakyat tidak hadir sidang Dun bermakna wakil rakyat itu sudah tidak berminat untuk menjadi wakil rakyat.Maka beliau wajar meletak jawatan atau kerusinya memang patut diisytihar kosong.Serah kembali kepada rakyat untuk memilih wakil baru.

Menghadiri sidang Dun sebagai mewakili rakyat di kawasannya adalah tugas hakiki bagi wakil rakyat.Bukan di Kedah saja malah mana-mana negeri sekali pun.

Adalah salah jika ada yang beranggapan bahawa tugas wakil rakyat ialah menghadiri majlis kenduri kahwin,ziarah kematian,ziarah rakyat sakit,meraikan bakal haji ke Mekah atau yang seumpamanya.Ini hanya tugas sampingan wakil rakyat.Tapi saya tidak menafikan bahawa tugas ini tidak penting bagi seseorang wakil rakyat.Tugas ini adalah penting khususnya bagi memenangi hati rakyat supaya memilihnya lagi dalam pilihanraya akan datang.Wakil rakyat tentunya faham.

Kepada SPR,usah merayu lagi,jangan buang masa.Buat saja pilihanraya.Beri peluang kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar nak jadi wakil rakyat.

Kepada rakyat Dun Kota Seputeh,InsyaAllah kami datang.

Ahad, 15 November 2009

perjuangan penuh onak dan duri...


Jika tidak ber'onak' dan ber'duri' bukan perjuangan namanya.Justeru agama menganjurkan sabar sebagai perisai dan benteng menempuh asam garam kehidupan dan perjuangan.

Sabar adalah muqaddimah kepada kejayaan.Tanpa sabar sesiapapun bakal lebur.Hancur lebur.Jauh lagi menggapai kejayaan.Baunya pun tiada terhidu.

Nabi-nabi dan rasul-rasul telah mendahului dengan pengalaman ini.Sahabat dan para tabiin juga melalui pengalaman ini.Malah generasi inilah yang ditimpa seberat-berat onak dan duri.

AsSyahid Imam Al-Banna,ditembak bertalu-talu.AsSyahid Sayyid Qutb,dek kerana fitnah pemerintah sehingga dibawa ke tali gantung.AsSyahid Ibrahim Libya tersembur darah mulianya dek penangan peluru pemerintah sekular.Mereka telah mengambil tempat mereka,ramai yang masih menunggu dan bakal menyusul.

Di bumi ini,barangkali Allah Yang Maha Besar, sengaja menjadikan fitnah sebagai onak dan durinya.Maka ada fitnah,ada tukang fitnah dan ada mangsa fitnah.

Dan ingat DIA pernah berfirman (yang bermaksud) :"Dosa fitnah lebih berat dari membunuh".

Dosa menfitnah lebih besar dari dosa membunuh.Beban tanggungan 'kesakitan' orang yang kena fitnah lebih berat dari kesakitan orang yang kena bunuh.

P/s: Jangan ada yang cuba menfitnah Tok Guru.Tok Guru tidak pernah menfitnah.Jangan ada yang cuba menconteng arang di wajah Tok Guru.Tok Guru tidak pernah menconteng arang di wajah orang.Jangan ada yang cuba 'cah keting' Tok Guru.Tok Guru tidak pernah 'cah keting' orang,apatah lagi sahabat seperjuangan.

Selasa, 10 November 2009

Percanggahan 2 gambar


Gambar di atas diperoleh dari Utusan Online,manakala yang di bawah dari BH Online.Ada perbezaan jelas di kedua-dua gambar ini.Yang di atas gambar payung tiada lambang 'dacing',manakala yang bawah terpapar jelas lambang 'dacing'.

Bagaimana ini boleh berlaku?Kenapa cuba menyembunyikan sesuatu yang nyata?

P/s: Kes ini tiada kaitan dengan parti yang berlambang dacing itu.

Payung cap dacing

Di bawah payung cap dacing,terbujur kaku mayat seorang wanita yang dikatakan dibunuh oleh suaminya yg sedang dibawa polis itu.

Dunia..dunia.

Rabu, 4 November 2009

Wang Ehsan untuk Kelantan

Tepat jam 10.10 pagi tadi YAB Perdana Menteri Malaysia ketika menjawab soalan lisan YB Kubang Kerian mengumumkan bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum seperti termaktub didalam perjanjian Kerajaan Kelantan dan Petronas sebaliknya, seperti Terengganu, Kelantan layak menerima Wang Ehsan.

Tiada aktiviti petroleum di Perairan Kelantan dan Terengganu tetapi seperti Terengganu, terdapat aktiviti berdekatan Perairan Kelantan. Memandangkan Kerajaan Pusat memberi Wang Ehsan kepada negeri-negeri yang terdapat aktiviti petroleum diluar perairan negeri maka, seperti Terengganu, Kerajaan Persekutuan akan membayar Wang Ehsan kepada Kelantan.

Sehingga kini terdapat hanya satu medan aktiviti petroleum iaitu di Bumi Selatan.

Demikian kenyataan Perdana Menteri di Parlimen pagi tadi.

Sejurus selepas jawapan tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bersidang dan memutuskan untuk melantik panel guaman bagi mengkaji tindakan undang-undang ke atas Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, Kerajaan Kelantan tidak mengambil pendirian untuk tidak menutup pintu rundingan.

-Kickdefella-


Komen: Untuk rekod Kerajaan Pusat setelah sekian lama telah mengembalikan pemberian royalti kepada Kerajaan Terengganu.Kelantan juga berhak untuk menikmati hasil petroleum itu dalam bentuk royalti,bukannya wang ehsan.